Monday, March 21, 2011

Nicol Ann David Juarai Terbuka Kuala Lumpur Kali Ketujuh!!!


Hanya setengah jam tewaskan Madeline Perry!!!

SEGALA-GALANYA berlaku sekelip mata apabila pemain nombor satu dunia, Nicol David hanya mengambil masa setengah jam untuk merangkul gelaran pertamanya tahun ini dan kali ketujuh Terbuka Kuala Lumpur di Berjaya Times Square, semalam.

Saingan sengit yang diharapkan, gagal dijelmakan pilihan ketujuh, Madeline Perry apabila pemain Ireland itu tidak memiliki jawapan terhadap ketajaman pukulan juara dunia itu di sepanjang perlawanan buat Nicol menang aksi berat sebelah, 11-6, 11-6, 11-2.

Ia juga membuktikan kekalahannya kepada Laura Massaro di final Klasik Cleveland pada akhir Januari lalu, sudah diatasi sepenuhnya.

“Saya begitu gembira dapat memenangi gelaran pertama saya. Sungguhpun ia kelihatan mudah, ia sebaliknya kerana saya perlu bekerja keras untuk menewaskannya (Perry) kerana dia mengetahui corak permainan saya.

“Selepas ini, saya akan ke (Terbuka) Kepulauan Caymans dan selepas itu pulang ke Pulau Pinang untuk menyertai Kejohanan Asia. Menyeronokkan untuk pulang ke kampung halaman, menghabiskan masa bersama-sama keluarga.

“Saya akan pulang ke Amsterdam (pangkalan latihan) dan berusaha menajamkan teknik dan memperbaiki segala kelemahan,” katanya yang membawa pulang hadiah wang tunai AS$8,550 (RM25,650) manakala Madelina meraih AS$5,850 (RM17,550).

Dalam saingan final lelaki, pemain Mesir yang juga pilihan pertama, Karim Darwish akhirnya menjulang gelaran pada percubaan keduanya selepas mengenepikan rakan muda senegara, Mohamed El Shorbagy, 11-9, 11-9, 11-3.
Darwish membawa pulang AS$8,075 (RM24,225) atas usahanya itu manakala El Shorbagy berpuas hati dengan AS$5,525 (RM16,575).

No comments:

Post a Comment