Sunday, August 14, 2011
KEPELBAGAIAN MAKANAN DI MALAYSIA !!!
‘Kepelbagaian’ merupakan perkataan utama apabila kita memperbincangkan tradisi makanan Malaysia. Di dalam perbincangan ini saya akan membawa anda sekelian melalui serambi gastronomi pelbagai kaum di Malaysia: Melayu, India dan China. Kita mulakan dengan pembudayaan makanan Melayu.
Dari segi sejarah, kaum Melayu ini mempunyai elemen-elemen dan usul asal dari Sumatra, Jawa, Thailand, Sulawesi dan juga Polinisia. Dengan pengaruh-pengaruh negara tersebut tidak hairanlah jika masakan Melayu mempamerkan sedikit sebanyak kualiti kulinari dari negara-negara tersebut.
Di Selangor, kaum Melayu dahulu kala merupakan pahlawan Bugis dari Sulawesi dan bagi orang Melayu Negeri Sembilan, menamakan diri mereka sebagai Minangkabau dari Sumatra. Kita beralih ke Utara: Pahang, Perak, Pulau Pinang dan Perlis di mana pengaruh Acheh, Bugis dan Siam amat ketara. Pada abad ke 16, kaum Acheh mempunyai seorang ketua yang dikenali sebagai Mahkota Alam atau Iskandar Muda.
Beliau juga dikatakan mempunyai pengaruh besar ke atas negeri Pahang, Kedah dan Perak. Bagi negeri Kelantan, Kedah dan sebahagian negeri Terengganu pula dipengaruhi oleh Thailand atau Siam. Ini dapat dilihat dari segi penyediaan makanan dan dialek percakapan mereka: ala Siam.
Kita ke selatan iaitu ke Johor. Di sini terdapat beberapa penempatan kaum Jawa dan Bugis. Pada tahun 1639, di dalam perjanjian antara Johor dan Belanda, kerajaan Johor bersetuju untuk membantu menakluki Negeri Melaka dengan pertolongan pahlawan Bugis bernama Daeng Prani. Sebagai balasan terima kasih dengan kejayaan cemerlang ini, Daeng Prani dilantik sebagai Yam Tuan Muda Johor.
Sekarang kita ke Negeri Melaka untuk mengikuti perkembangan sejarah kaum Cina. Pengaruh dari negeri China ini telah mula menular pada abad ke-15. Ianya bermula dengan lawatan Laksamana China Yin Ching dan Cheng Ho. Mereka singgah di Melaka dalam perjalanan ke Barat. Admiral Cheng turut membawa bersamanya adat resam dan budaya kaum Cina.
Sultan Mahmud sungguh tertarik dengan kebudayaan Cina, lebih-lebih lagi apabila mengetahui mereka telah lama mengamalkan ajaran Islam. Perkahwinan di antara Sultan Mahmud dan Puteri Hang Li Poh mengeratkan lagi pertalian dua budaya ini. Walau bagaimanapun Malaysia hanya dapat menyaksikan pengaruh (tradisi, budaya dan masakan) dari China ini pada abad ke-18. Pendatang dari China dibawa bekerja di lombong-lombong di Malaysia dan mereka membawa bersama budaya tradisi dan nilai etika kerja.
Kaum India mula menapak kaki di Malaysia 2,000 tahun yang lalu. Mereka merupakan pedagang dan pada abad ke-10 terdapat beberapa komuniti kecil keturunan India di pinggiran pantai. Ketika dijajah oleh Kerajaan Inggeris, kaum India di bawa masuk ke Semenanjung untuk bekerja di ladang-ladang getah dan seterusnya menetap disini. Di Melaka pula di Kampung Tujung terdapat kampung Chitty. Keturunan India di sini dikatakan berasal dari Kalinga (selatan timur India). Kaum Chitty di sini berkahwin dengan penduduk tempatan dan menerap nilai, tradisi dan budaya mereka. Bagi kaum wanita Chitty, mereka tidak memakai sari seperti wanita India. Mereka memakai kebaya panjang atau kebaya pendek. Bagi kaum lelaki pula apabila menghadiri pesta keugamaan, mereka mengenakan pakaian dhoti bukan sarong yang dipakai oleh kaum India yang lain.
Sebagai negara kosmopolitan, Malaysia juga mempunyai potpuri budaya yang agak unik. Gabungan kaum Melayu, Cina dan India Cina berjaya menyatukan pelbagai hidangan kepada ‘hidangan Malaysia’ dan menjadikan ia sebagai satu tarikan kepada pelancong luar. Penduduk di Malaysia ini juga dikatakan banyak menghabiskan masa di meja makanan dan menjadikan masa menikmati hidangan itu sebagai aktiviti kebangsaan. Kaum Cina, India dan Melayu di Malaysia ini sentiasa kreatif, berganding bahu mereka masakan baru dengan menggabungkan pinjam meminjam tradisi budaya masing-masing. Dengan ini lahirlah nasi ayam, mi mamak, mi kari dan lain-lain.
Saya akan mulakan budaya makanan Malaysia ini dengan budaya makanan orang Melayu. Pelbagai lauk pauk tidak akan sempurna jika tidak diiringi dengan nasi. Nasi merupakan makanan utama bagi orang Malaysia dan orang Melayu amnya. Beras juga merupakan nadi budaya kehidupan dan adat bagi penduduk Asia. Bijirin kecil ini juga berjaya membentuk budaya diet (pemakanan) dan ekonomi penduduk Asia. Di Malaysia padi menjadi tanaman utama di Kedah dan Perlis dan dikenali sebagai ‘rice bowl of Malaysia’. Nasi dihidangkan dengan pelbagai lauk-pauk dan ulam ulaman. Bahan yang digunakan dalam masakan Melayu berkisar kepada santan, cili dan belacan. Hidangan orang Melayu dikatakan mampu menghangatkan suasana di meja makan. Hidangan Melayu terkenal bukan sahaja dari keenakan tetapi dari segi kepedasan dan juga penggunaan rempah ratusnya.
Santan merupakan bahan asas dalam masakan kita. Ia digunakan dalam segala jenis gulai atau masak lemak. Bahan perasa (seasonings) dalam masakan Melayu di bahagi kepada dua: rempah basah dan rempah kering. Rempah basah iaitu bahan yang ditumbuk dengan batu lesung: bawang, halia, bawang putih dan cili. Rempah kering pula termasuk biji ketumbar, jintan, buah pelaga, kayu manis dan lain-lain. Rempah ratus ini selalunya di sangai (digoreng tanpa minyak) terlebih dahulu sebelum ditumbuk atau dikisar. Orang Melayu juga banyak menggunakan bahan-bahan herba seperti serai, daun pandan, daun limau purut, daun kemangi, bunga kantan, kunyit, lengkuas dan buah pala.
Kita beralih pula ke masakan tradisi dan masakan popular orang Melayu di Malaysia. Kita masih mengemari masakan kampung atau masakan nenek dan emak kita dahulu. Orang Melayu di kampung-kampung masih berlandaskan pertanian. Di halaman-halaman rumah kampung kelihatan berkeliaran ayam, itik, ikan dari hasil tangkapan nelayan atau dari sawah dan bendang. Sayuran ditanam di belakang rumah dan juga di perairan sawah dan bendang. Pucuk paku, petai, daun pegaga, daun selum, daun kaduk, cendawan (kulat) dan lain-lain jenis ulaman daun menjadi makanan amalan orang Melayu di kampung. Daun-daun ini selain kaya dengan sumber vitamin dan mineral, ia juga tinggi dari segi serat. Daun kaduk dan daun pegaga telah mendapat pengiktirafan dari WHO sebagai herba yang mempunyai pelbagai faedah kepada kita. Ia boleh merangsang aktiviti otak kanak-kanak, pengaliran darah yang sihat dan menghaluskan tekstur kulit seseorang.
Untuk pesakit diabitis dan tekanan darah tinggi, ulam jering boleh dijadikan ubat kerana kandungan alkali yang tinggi dan berfungsi sebagai bahan dirutik. Tongkat Ali merupakan akar kayu yang terbilang hasiatnya dari segi penambahan tenaga batin dan juga tenaga fisikal. Tongkat Ali dijual dalam bentuk tablet dan juga serbuk. Di restoran dan gerai, kopi tongkat Ali menjadi minuman kegemaran para pengunjung. Dahulu ulam dan akar kayu hanya dipopularkan oleh orang Melayu tetapi sekarang mendapat tempat di restoran dan hotel-hotel, dimana kita lihat kaum-kaum lain turut meminatinya.
Nasi lemak patut dijadikan makanan kebangsaan Malaysia. Ia bukan sahaja menjadi kegemaran orang Melayu tetapi turut di pelopori oleh kaum Cina dan India. Nasi lemak dahulunya dihidang untuk sarapan pagi tetapi pada masa kini dijadikan hidangan tengah hari dan malam. Ia juga turut dihidang pada rumah terbuka dan dijadikan salah satu menu (ala carte) di hotel-hotel. Nasi lemak turut diiringi dengan beberapa lauk sampingan: kari ayam, rendang (ayam dan daging), sambal (sotong kering atau ikan bilis), ayam goreng dan paru goreng.
Di musim perayaan (hari lebaran, kenduri kendara) nasi tomato beserta lauk pauknya sentiasa menarik perhatian tetamu. Nasi tomato dihidang bersama ayam masak merah, dalca, ayam golek, pecal dan lain-lain. Bagi orang Melayu pantai Timur (Kelantan dan Terengganu) menghidangkan pelbagai juadah seperti nasi dagang, nasi berlauk, nasi minyak, ayam percik dan lain-lain. Negeri Perak pula berbangga dengan rendang tok dan gulai ikan sembilang tempoyak. Gulai lemak cili padi (ayam, ikan dan daging) pula dipelopori oleh orang Negeri Sembilan. Selain lauk pauk terdapat juga makanan ringan; laksa Penang, laksa Johor, pesembur, mi Siam dan lain-lain.
Manisan kegemaran orang Melayu ialah dari jenis bubur dan kuih muih. Bubur pulut hitam, bubur kacang, pengat pisang dan bubur cacar (kandungan keladi, keledek dan tepung gunting) merupakan manisan yang sangat popular. Kebanyakan kuih muih orang Melayu berasaskan beras, beras pulut dan ubi.
Contohnya kuih seri muka (di bawah pulut dan di atas kastad pandan) pulut panggang (pulut berisi serunding kelapa atau ikan) bengkang ubi, talam keladi, cucur badak, kuih lapis dan sagu gula Melaka. Manisan tradisi bagi orang Melayu pula ialah dodol, wajek, kuih koci, bahulu dan onde-onde. Kuih tradisi ini masih diminati terutama pada bulan Ramadhan dan lebaran. Minuman iringan pula, orang Melayu kita tidak akan lupa menghidangkan air sirap bandung, sirap selaseh, air kelapa dan air kopi kampung.
Bila kita menyebut nasi kandar, Pulau Pinang menjelma dalam ingatan kita. Nasi kandar di Pulau Pinang samalah seperti adanya nasi dagang di Kelantan atau Terengganu. Kini populariti nasi kandar telah menular ke negeri-negeri lain di Semenanjung. Kadang kala kita tertanya-tanya apa yang membezakan nasi kandar dengan nasi-nasi yang lain. Nasi kandar diiringi dengan pelbagai jenis lauk pauk (dalam 30 jenis masakan).
Contoh hidangan lauk pauk nasi kandar ialah: ayam goreng berempah, kari kepala ikan, ikan goreng, kari telur sotong, udang galah goreng, kari daging rusa, kari kambing dan lain lain. Berbalik mengimbas sejarah nasi kandar, kita akan ke selatan India. Di sinilah bermulanya di mana pedagang-pedagang India Muslim berulang alik antara India dan Semenanjung.
Pada mulanya pengaruh masakan mereka ini tertumpu di utara Semenanjung sahaja: Alor Setar, Kangar, Sungai Petani dan Penang. Lama kelamaan populariti nasi kandar ini menular keseluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Nasi kandar mengekalkan nama ‘kandar’ ini berlandaskan cara penjaja nasi ini menjualnya. Nasi dikandar di bahu (dua bakul atau raga dengan satu batang kayu) dan mereka akan berjaja merentas kampung-kampung. Pasa masa kini nasi kandar boleh dinikmati di restoran-restoran dan juga di hotel. Menikmati hidangan yang disajikan di atas daun pisang juga menjadi kegemaran orang-orang Malaysia.
Minuman iringan dengan nasi kandar ini ialah teh tarik. Ia sepatutnya juga menjadi air minuman kebangsaan Malaysia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment